Sunday 12 December 2010

TABIAT MEMBACA : DI MANAKAH RAKYAT MALAYSIA

Dalam era informasi ini, masyarakat Malaysia seharusnya memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan melalui pambacaan untuk menangani cabaran semasa.ironsnya, tabiat gemar membaca di kalang masyarakat Malaysia semakin merosot mengikut peredaran masa. Menurut perangkaan yang dibuat oleh Perpustakaan Negara Malaysia pada tahin 1996, purata membaca setiap orang rakyat Malaysia hanyalah dua buah buku setahun. Fakta ini amat menyedihkan kerana sedangkan negara kita sedang bergerak menuju wawasan 2020 yang baeteraskan teknologi maklumat,masyarakat Malaysia semakin jauh ketinggalan dalam pemikiran mereta.

Apakah sebabnya buku-buku ilmiah menjadi makanan anai-anai walaupun kadar celik huruf negara Malaysia adalah antara yang tertinggi di dunia? Kecanggihan media elektronik, terutamanya televisyen adalah antara faktor penyebab orang tidak gemar membaca. Malaysia Malaysia kini umumnya lebih suka duduk menonton televisyen pada masa lapang berbanding dengan membaca buku. Sementelahan itu, sistem pendidikan negara kita yang terlalu berorientasikan peperiksaan mungkin menyumbang ke arah kemerosotan minat membaca di kalangan masyarakat. Oleh sebab tumpuan yang lebih diberikan untuk buku-buku teks yang akan menjamin kecemerlangan dalam peperiksaan, para pelajar tidak ada masa untuk membaca buku-buku di luar bidang pengajian mereka. Dewasa ini, bahan-bahan picisan dan semiprono membanjiri pasaran buku di negara kita. Keaadaan ini telah menyebabkan buku-buku ilmiah kuarang mendapat sambutan di kalangan masyarakat Malaysia.

Dalam hal ini, kerajaan perlu mengadakan kempen membaca dari masa ke masa untuk memupuk minat membaca di kalangan masyarakat. Kempen-kempen inin tidak harus terhad di kawasan tertentu sahaja, sebaliknya diadakan secara meluas di seluruh pelosok negara, termasuklah kawasan luar bandar dan kawasan pedalaman. Sehubungan itu, kerajaan perlu menggunakan saluran media massa untuk mempromosikan kempen membaca yang diadakan supaya matlamat melahirkan masyarakat yang suka membaca tercapai. Kerajaan juga wajar mengurangkan cukai jualan atau penerbitan buku supaya harga buku dapat dikurangkan. Sekiranya harga buku tidak terlalu mahal dan mampu dibeli oleh orang ramai, nescaya jualan buku akan menjadi laris dan keadaan ini seterusnya dapat memupuk minat membaca di kalangan masyarakat.

Selain itu, pihak sekolah juga harus mengadakan ceramah kesedaran membaca di sekolah untuk memupuk minat membaca di kalangan pelajar. Minggu yang tertentu juga patut ditetapkan sebagai “Minggu Membaca” oleh pihak sekolah. Sepanjang “Minggu Membaca” ini, aktiviti-aktiviti seperti pertandingan membaca yang bertujuan untuk menyuburkan minat membaca di kalangan pelajar harus diadakan, bak kata pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Pada masa kini, masih terdapat banyak sekolah di negara kita yang tidak mempunyai perpustakaan atau pusat sumber yang lengkap, lebih-lebih lagi di kawasan luar bandar. Sesungguhnya, keadaan ini menjadi penghalang kepada sesetengah pelajar yang miskin untuk mengamalkan tabiat membaca. Oleh itu, pihak sekolah seharusnya berusaha menyediakan pusat sumber yang mempunyai kemudahan lengkap serta buku-buku yang berkualiti tinggi.

Di samping itu, pihak penerbitan swasta perlu meningkatkan penerbitan buku-buku ilmiah yang sesuai untuk tatapan pembaca. Selain Dewan Bahasa & Pustaka, tidak banyak lagi penerbit swasta yang menjadikan buku ilmiah sebagai agenda utama perniagaan mereka. Pihak penerbitan swasta ini masing-masing memilih untuk menerbitkan bahan bacaan yang sentiasa mendapat sambutan dan cepat pula mendatangkan laba, misalnya bahan-bahan picisan yang menonjolkan seks dan juga nilai-nilai biru yang lain. Oleh sebab itu, pihak penerbitan wajar menukar haluan dan melaksanakan tanggungjawab sosial mereka bagi mengangkat martabat dan memupuk budaya membaca di kalangan rakyat Malaysia. Pihak penerbitan juga tidak harus menjadikan perolehan keuntungan sebagai perkiraan utama semasa menerbitkan buku-buku. Sebaliknya, mereka perlu senantiasa memastikan hraga buku-buku adalah berpatutan dan mampu dimiliki oleh setiap lapisan masyarakat. Seboleh-bolehnya para penerbit harus mengadakan pesta-pesta buku sebulan-sekali dan memberikan diskaun untuk menarik orang ramai membeli buku-buku.

‘Bagaimana acuan, begitulah kuihnya’, peranan ibu bapa dalam memupuk minat membaca di kalangan anak-anak amatlah penting. Ibu bapa seharusnya mengamalkan tabiat membaca untuk menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak mereka. Keadaan ini secara tidak langsung menimbulkan minat kepada kanak-kanak untuk membaca. Selain itu, ibu bapa perlu menimbulkan suasana yang akan membiasakan diri kanak-kanak dengan bahan bercetak atau buku. Salah satu caranya adalah dengan menyediakan perpustakaan mini di rumah supaya anak-anak terdedah kepada bahan-bahan bacaan pada usia yang muda lagi. Ibu bapa juga harus memilih hadiah yang sesuai untuk anak-anak mereka yang masih kecil seperti buku cerita yang mempunyai ilustrasi gambar. Lama-kelamaan, minat membaca akan tertanam dalam sanubari anak-anak mereka secara automatik.

Natijahnya, usaha memupuk minat membaca di kalangan orang ramai perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh sebagai salah satu priority negara. Sesungguhnya, jambatan kepada penguasaan ilmu itu adalah membaca seperti yang digambarkan melalui firman Al-Quran yang berbunyi ‘bacalah dengan nama Tuhan yang menciptakan’. Sekiranya masyarakat Malaysia tidak mempunyai ilmu yang tulen dan bernilai, Wawasan 2020 akan terus menjadi angan-angan yang tidak dapat direalisasikan.