SEJARAH SEKOLAH



Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Haji Talib Karim memang tidak asing lagi bagi masyarakat Daerah Alor Gajah. Sekolah ini dulunya dikenali dengan Sekolah Menengah Kolam Air, diasaskan pada 1hb Januari 1961 sebagai sekolah aliran Melayu. Ia dinamakan Sekolah Dato’ Haji Talib Karim sempena nama Ketua Menteri Melaka yang ketiga. Ia bermula dengan sebuah kelas tingkatan satu yang ditadbir oleh Pengetua Sekolah Menengah Alor Gajah bersama-sama dengan kelas aliran Inggeris.  Kebanyakan murid yang dipilih ke kelas istimewa (khas) datang dari sekolah-sekolah kebangsaan di sekitar Alor Gajah seperti Sekolah Kebangsaan Melekek, Sekolah Kebangsaan Parit Melana dan Sekolah Kebangsaan Alor Gajah.

Apabila  kelas aliran melayu telah bertambah menjadi 5 buah pada tahun 1963, pemimpin-pemimpin tempatan telah mengemukakan tuntutan kepada Kementerian Pelajaran Perseketuan Tanah Melayu untuk mendapat bangunan sendiri. Hasilnya sebuah bangunan baru yang mengandungi 18 buah bilik darjah, 1 pejabat pengetua, sebuah bilik guru, 2 buah makmal sains, makmal sains rumahtangga dan bengkel seni perusahaan telah siap dibina pada akhir tahun tersebut. Bangunan baru yang tersegam indah ini telah dirasmikan oleh YAB Encik Abdul Ghafar Baba, Ketua Menteri Melaka pada 20 Mei 1964.

Sekolah ini semakin berkembang lagi pada awal tahun 1970-an di mana pada tahun 1971 sebuah blok bangunan baru yang mengandungi 8 buah bilik darjah dan sebuah makmal sains, sebuah pusat sumber serta 2 buah bilik darjah telah dibina dan hasilnya kelas sains tulen telah dimulakan di sekolah ini pada tahun tersebut. Pada akhir tahun 1970-an dan awal 1980-an sebuah asrama puteri yang menempatkan kira-kira 100 orang murid dibina pada tahun 1977. Ia diikuti pula dengan kelas tingkatan 6 pada tahun 1980. Pada tahun 1984 sekolah ini mendapat sebuah lagi bangunan tambahan yang mengandungi 9 buah bilik darjah lukisan dan sebuah bilik kuliah.

Pada tahun 1989 kerja-kerja pembinaan 3 buah rumah guru SMKDHTK telah dijalankan pada tahun berikutnya ketiga-tiga buah rumah ini telah diduduki. Pada tahun 1990-an SMKDHTK setapak lagi berubah wajah. Pihak pentadbir telah mengubah suai bangunan hadapan sekolah dengan mengadakan dataran SMKDHTK dan membesarkan kantin sekolah.

Pada tahun 1994 sebuah bilik bacaan diadakan di asrama puteri SMKDHTK dan mata pelajaran Lukisan Kejuruteraan telah ditawarkan di tingkatan 4 sekolah ini dan pada tahun 2002 sebuah makmal komputer telah dibina berdekatan dengan surau. Diikuti pula dengan Mata Pelajaran Vokasional diperkenalkan pada tahun 2005. Program Pendidikan Khas (Masalah Pembelajaran) turut mewarnai panorama SMKDHTK. Program ini mula bertapak tanggal 5 Januari 2006.  Menjelang tahun 2009 sebuah blok bangunan baru kelas pendidikan khas telah terbina dengan gahnya bersebelahan makmal komputer dan surau sekolah.


Perkembangan terakhir ialah perubahan aspek fizikal sekolah termasuk penyediaan kelengakapan ICT di bilik-bilik darjah, pemindahan dan pengubahsuaian pejabat pentadbiran sekolah, pusat sumber dan makmak-makmal sains. SMKDHTK semakin anggun dengan pelbagai lakaran mural yang bertemakan pendidikan diteruskan. Semoga SMKDHTK menapak maju dan terus maju.